Selasa, 9 Ogos 2011

Surat buat buah hatiku...

kKepada buah hatiku.

Assalamualaikum wr. wb.

Semoga berada di bawah lindungan rahmat Allah taala dan sentiasa
dikurniakan taufiq, hidayah dan istiqamah dalam meniti alam
perjuangan.

Kita bersyukur kepada Allah taala yang masih mengurniakan nikmat iman
dan Islam pada diri kita serta kesabaran dan ketabahan bagi
menghadapi ujian-ujian kehidupan.

Oleh kerana besarnya pertanggungjawaban dan kepentingan persoalan
rumahtangga yang hendak kita bina dalam kehidupan ini, diri ini
terdorong untuk menulis surat ini bagi menyatakan perkara-perkara
penting yang harus diperhatikan sebagai peringatan untuk kita
bersama. Semoga ada kesepakatan antara kita dalam hal ini.

Rata-rata manusia, apabila memperkatakan tentang perkahwinan akan
mengaitkannya dengan kegembiraan dan keseronokan. Diharapkan, kita
mempunyai perasaan yang betul dalam menghadapi alam perkahwinan
nanti.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

"Berpesan-pesanlah kamu sekalian dengan kebaikan terhadap para
wanita. Sesungguhnya mereka adalah pembantu-pembantu kamu yang tidak
memiliki apa-apa bagi diri mereka sendiri. Sesungguhnya kamu
mengambil mereka dengan amanah Allah dan menghalalkan diri mereka
dengan kalimah Allah."

Dalam hadits ini Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa isteri adalah
amanah Allah taala kepada suaminya. Pengertian amanah di dalam hadits
ini boleh kita lihat pula dalam firman Allah taala

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga
kamu dari api neraka." (At-Tahrim : 6 )

Subhanallah!! Bagaimana kita tidak merasa gerun dengan hakikat ini.
Untuk menyatakan diri ini telah berjaya untuk memelihara diri dari
api neraka adalah terlalu jauh,kini harus pula menerima amanah lain
dari Allah taala dan memikul tanggungjawab pula untuk melepaskannya
dari api neraka.

Apa pun bentuk amanah, ia adalah suatu yang akan
dipertanggungjawabkan oleh Allah taala. Oleh sebab itu, langit dan
seluruh isi dunia tidak sanggup untuk memikulnya.

Seorang mukmin atas hakikat yang dinyatakan, seharusnya merasa insaf.
Oleh itu, rasa seronok dan gembira adalah terlalu ganjil baginya
dalam persoalan ini, tetapi kenapa perkahwinan ini harus dilaksanakan
juga?

Demi Allah, jika tidak kerana kepentingan Islam dan dakwah, jika
tidak kerana untuk mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w maka tidak
berupaya rasanya untuk memikul amanah ini.

Walau pun amanah ini besar dan pertanggungjawaban terhadapnya
menggerunkan, namun kepentingan Islam dan dakwah yang terdapat dalam
perkahwinan adalah lebih besar untuk dicapai dan tidak wajar untuk
dihalang oleh perasaan gerun yang ada dalam hati.

Semoga langkah kita ini menepati dengan firman Allah taala yang
bermaksud

"Jika kau telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah." (Ali-
Imran : 159)

Kekasihku…

Ingatlah juga, bahawa rumahtangga ini adalah sebahagian dari fasa-
fasa perjuangan yang harus kita jayakan bagi mencapai matlamat suci
kita – Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam. Rumahtangga ini adalah
nucleus bagi masyarakat Islam yang cemerlang.

Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan di atas jalan
dakwah, maka ia juga tidak akan terlepas dari sunnah jalan dakwah
ini. Bahawa sunnah jalan dakwah ini dulu, kini dan akan datang
bukanlah jalan yang merehatkan. Ia bukan juga jalan yang dihampari
oleh permaidani merah dan ditaburi oleh bunga-bunga yang indah. Ia
adalah jalan yang penuh ujian dan kesulitan tetapi di hujungnya
terdapat kemanisan. Maka tidak seharusnya kita merasa bersedih hati
di kemudian hari atau merungut atas kesulitan dan ujian yang akan
dihadapi.

Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan, maka kepentingan
perjuanganlah yang akan mencorak rumahtangga ini. Kepentingan
perjuangan ialah kepentingan Islam dan masyarakatnya serta wadah
perjuangan yang mendokongnya.

Bagi kita `Baiti – Daulati' – Rumahku, Daulahku.

Jika kita fahami apa yang dinyatakan tadi, maka tentulah diri kita
saha terlalu kerdil untuk memikul tugas ini. Hanya dengan bantuan
Allah sahaja kita akan berjaya. Namun…. sejauh mana Allah taala akan
membantu kita adalah terletak pada sejauh mana kita mampu menepati
kehendak-kehendakNya. Oleh itu, kemungkaran adalah sesuatu yang asing
dan sangat sensitif bagi rumah tangga ini kerana ia adalah penghijab
bagi kita dari bantuan Allah taala dan akan lebih menyukarkan jalan
ini.

Kekasih….

Bagi seorang mukmin, kecintaannya hanyalah kepada satu – cinta kepada
Allah taala. Kalau ia harus mencintai yang lain, maka ia adalah cinta
kerana Allah taala. Inilah ikatan yang akan mengikat hati kita –
cinta kepada Allah dan bercinta kerana Allah. Semoga dengan ini kita
akan digolongkan di dalam salah seorang dari tujuh golongan yang
mendapat perlindungan Allah taala di padang mahsyar kelak – lelaki
dan wanita yang saling mencintai kerana Allah taala semata-mata.

Tanpa ikatan perkahwinan ini pun, hati kita telah diikat dengan rasa
ukhuwwah fillah, kesatuan fikrah dan matlamat dari satu wadah
perjuangan yang sama. Ikatan-ikatan ini sahaja sudah cukup untuk kita
saling mengasihi antara satu sama lain. Kini, ia akan dikukuhkan lagi
dengan ikatan perkahwinan. Begitu kukuh ikatan antara kita, adalah
terlalu malang jika ia akan diuraikan oleh faktor-faktor keduniaan.

Di hati ini selalu terbisik – berapa lamakah rumahtangga ini akan
kita tempoh bersama?

Setiap kali apabila membaca berita-berita dunia, sering kali
terpanggil untuk menyahut seruan untuk membela umat Islam di merata
dunia- di Bosnia, Kosovo, Chechnya, Palestin dan lain-lain. Mungkin
akan tiba satu masa yang mana menyahut seruan ini akan menjadi satu
kewajipan yang tidak boleh kita elakkan lagi. Apabila masa ini tiba,
ana berharap anti akan kekal bersama. Semoga ana tidak menjadi
seperti tiga orang sahabat yang dicela kerana tidak keluar ke medan
Tabuk disebabkan kelalaian oleh harta dan rumah tangga (rujuk surah
At-Taubah : 118) dan anti tidak menjadi seperti isteri yang
dinyatakan di dalam surat At-Taghabun : 14-15 (lihat sebab turun ayat
ini).

Diharapkan tempoh pertunangan kita yang beberapa bulan ini mencukupi
untuk kita bersama berfikir mengenai apa yang dinyatakan di atas dan
menyiapkan diri kita.

Akhir kata, simpanlah surat ini baik-baik semoga ia akan menjadi
bahan tazkirah bagi kita bersama, anak-anak kita dan generasi
seterusnya.

Semoga Allah taala memberkati rumahtangga ini dan mengurniakan ana
kekuatan untuk memimpin di atas landasanNya serta untuk anti
berkhidmat kepadaNya sehingga kita ditentukan dengan salah satu dari
dua kebaikan – hidup dengan kemuliaan atau gugur untuk perjuangan.

Salam kasih, wassalamualaikum.

1 ulasan:

  1. nukilan ini bukanlah hasil kerja saya.hanya sekadar satu perkongsian utk kita sama-sama ambil iktibar. smoga apa yg kita tahu dapat kita amalkan. inshaAllah.

    BalasPadam